By Nurfarhana shahira Rosly

Berserah padaMU

Definisi "kuat" menurut ibu

Aku selalu cuba berfikir,
Definisi kuat menurut ibu.

Puas aku fikir,
Sampai tak terfikir.

Rasanya,
Kalau aku selak,
Kamus Dewan,
PRPM,
KBBI,
Kamus Linguistik,
Oxford Advanced,
Webster's,
Mahupun Collins Concise pun,
Aku takkan jumpa,
Definisi yang sama,
Seperti yang aku lihat pada ibu.

Maka,
Aku bina definisi kuat menurut aku,
Menurut aku,
Kuat itu ialah IBU.

Allah hembus api kekuatan,
Di jiwa ibu,
Sampai jadi kuat begitu.

121217
Ipoh, Perak.
Semoga Allah Redha.

Ditenung nampak hutan, diselak nampak taman.

Sedang kaki lemah berjalan,
Sedang mata kurang bertahan,
Sedang hati tidak keruan,
Yang di depan seperti hutan,
Terus jalan dan jalan,
Adakah betul itu hutan?
Teruskan perjalanan,
Selak muka hadapan,
Masuk ke dalam hutan,
Terus singkap tak keruan,
Berlanggar dengan dahan-dahan,
Kaki terasa seolah tak tertahan,
Seperti nak pengsan,
Mencari air seluas lautan,
Harap bertemu di hadapan,
Jalan lagi terus-terusan,
Nampak seolah ada sinaran,
Langkahan tidak lagi perlahan,
Seolah penuh dengan kekuatan,
Semakin ke depan dan ke depan,
Hati seolah terkena panahan,
Rupanya ada taman,
Taman penuh gemerlapan,
Hati berbunga dengan senyuman,
Benarlah aturan Tuhan,
Ada gembira selepas ujian,
Pelangi hadir setelah hujan,
Binalah kekuatan,
Ciptalah kekentalan,
Carilah kebahagiaan,
Sematlah kenangan,
Sampai masa,
Kita kembali pada Tuhan,


310117
Selasa
12;32 tengah hari waktu Malaysia.
Moga-moga Allah Redha
Sebentar namun menggamit

Sedang menghala wajah,
Ke permukaan komputer riba,
Yang dicari tidak juga ditemui,
Sambil melayan yang di depan mata,
Tiba-tiba memancar wajah,
Wajah-wajah indah.

Sepertinya,
Berada dalam satu bangunan segi empat sama,
Tingkap buka tutup bergelas kaca,
Daun pintu kelabu dengan dinding putih rona.
Orang di dalamnya seperti pernah berjumpa,
Masing-masing sibuk ke sini sana,
Berbaju putih tanpa lain warna,
Bersama seorang wanita,
Yang tersenyum setiap kali disapa.

Wajah-wajah itu sungguh ceria,
Seperti kanak-kanak baharu mendapat pensil warna,
Bergelak ketawa riang gembira,
Kira-kira seperti aku ada bersama,
Mungkin mahu berkongsi kasih suka dan duka,
Namun tidak lama,
Masing-masing mengemas kerusi meja,
Menyarung bagasi dan mahu berjalan keluar,
Aku melihat terus wajah mereka,
Mahu kemana?

Aku di saat dan ketika,
Mahu dilakar dilukis menggambar suasana,
Mahu ditulis panjang lebarnya,
Biar tidak cukup kain selembar,
Apa aku rasa,
Apa aku seperti mahu sama,
Sama dengan sebegitu rupa,
Gembira,
Dan ceria,
Sekali hati turut bercahaya.

Aku kembali menghadap komputer riba,
Ahh,
Tadinya aku terlelap seketika,
Allah bagi peluang dan masa,
Imbau kenangan zaman remaja,
Bersama bangku dan meja,
Tempat jatuh tidaklah dilupa.

Allah izin merasa,
Menggamit memori seketika,
Indah.

Allah izin menagih,
Rangkulan kasih,
Walau hanya dalam mimpi.
Luarbiasa.

Moga kalian baik-baik sahaja,
Dalam rahmat dan redhaNya.
Hadiahkan pahala Al-Fatihah,
Buat yang telah dahulu bertemu Pencipta.

2709016
11:05 pagi waktu Malaysia
Rindu bangku sekolah
Ipoh, Perak
Moga-moga Allah Redha

12 Julai 16, 26.

Alhamdulillah.
Untuk semua,
Untuk nikmat kasih sayang Allah & Rasul,
Untuk nikmat iman, amal dan agama,
Untuk nikmat al-Quran pesanan teragung,
Untuk nikmat tenang dan bahagia,
Untuk nikmat redha dan terima,
Untuk nikmat suka dan duka,
Untuk nikmat himpunan sekeluarga,
Untuk nikmat sahabat yang setia,
Untuk nikmat saudara mara,
Untuk nikmat jiran tetangga,
Untuk nikmat kesihatan dan masa,
Untuk nikmat sesuap rasa,
Untuk nikmat helaian pelbagai warna,
Untuk nikmat tempat berteduh sementara,
Untuk nikmat majlis ilmu penguat jiwa,
Untuk nikmat pancaindera sempurna,
Untuk nikmat pinjaman sementara,
Untuk nikmat kemudahan kerjaya,
Untuk nikmat kelancaran menimba ilmu di dada,
Untuk nikmat perjuangan dan kekuatan,
Semua.
Hanya Allah yang tahu.

Syukur.
Alhamdulillah.
Semoga semuanya nanti kembali bersatu,
Untuk bertemu Yang Satu,
Bersama kekasihNya yang sentiasa dirindu.


180716
Isnin
11:44 pagi waktu Malaysia,
Ipoh, Perak.
Moga-moga Allah Redha.

Pelangi kembali lagi

Pelangi,
Bila pelangi muncul kembali,
Setelah hujan menyapa bumi,
Ada senyuman mekar menghiasi,
Ada tumbuhan tertegak menguasai,
Dan ada seseorang kembali berdiri.

Pelangi,
Bukan selalu tiba,
Bukan selalu menyapa,
Serta bukan selalu menerpa.

Bila pelangi kembali lagi,
Jangan biarkan kenangan hujan berlalu pergi,
Kerana hujan dengan pelangi,
Ibarat satu penyatuan hati,
Yang apabila sakit diuji,
Akan hadir sinar memancar diri.

Marilah hujan dan pelangi,
Masuk dalam hati,
Singgah dalam diri,
Sebagai ubat dari Illahi,

Kerana,
Yang berlalu pergi,
Mungkin tidak akan kembali,
Yang berlalu pergi,
Mungkin juga akan kembali,
Apa yang pasti,
Selepas hujan, akan datang pelangi,
Tanda Tuhan tidak pernah berlalu pergi.
Dan tanda Tuhan Maha Memberi,


090716
Sabtu
11:45 malam waktu Malaysia,
Ipoh, Perak.
Moga-moga Allah Redha