Titis – titis air yang membasahi tubuh dihayati sedalamnya . Niat termaktub di benak hati . ‘ Sahaja aku mandi sunat ihram kerana ALLAH ta’ala”. Jauh perjalanan kental dirempuh oleh wanita itu . Semakin jauh inci perjalanan yang perlu ditempuh , semakin bergelojak hati wanita itu . Azam dan tekad sudah diletak kukuh , tak sabar rasanya untuk mengadap YANG MAHA ESA. Tidak dikuis walau setitik air suci yang membasahi wajahnya . Telekung putih suci dengan sedikit haruman disarungkan menutupi tubuhnya melewati solat sunat ihram dengan niat untuk menjalani ibadah umrah.
Tubuhnya dihadapkan ke arah kaabah dan hajarul aswad terletak bersebelahan lantas berniat tawaf Qudum sedetik kemudiannya. Lantas wanita itu mula menapak membuka langkah pertama untuk menjalankan rukun umrah yang kedua iaitu tawaf. Sinergi empat Kaabah dipusing sehingga kiraan tujuh . Ya, beliau masih kuat , masih kental. Malah , pusingan seterusnya dilalui dengan gandaan semangat yang semakin membina . Alhamdulillah , selesai angka tujuh pusingan yang dilaluinya . Selesai tawaf , tanpa melengahkan masa terus menunaikan solat sunat tawaf . Ini yang dinanti-nantikan . Syukur , bukan mudah untuk mendapat tempat berhadapan dengan Multazam iaitu dinding Kaabah diantara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah. Bukan mudah . YA ALLAH , terima kasih kerana memakbulkan doa insan ini . Masih tersemat dihatinya , sabda daripada utusan ALLAH SWT
“Tidak seorangpun hamba ALLAH SWT yang berdoa di tempat ini tanpa terkabul permintaannya”.
Disembamkan wajahnya di bumi rata , langsung memohon maghrifah pada Pencipta . Saat itu dingin, sedingin kuis-kuis angin seolah membawanya ke satu tempat di mana yang wujud hanya dia dan Yang Maha Esa. ‘ YA ALLAH ya tuhanku , Yang Maha Pemurah Lagi Maha Bijaksana . Hamba menzahirkan kesyukuran kepadaMU YA ALLAH kerana membuka ruang kepada hamba untuk menjejakkan kaki di tanah suci ini . YA ALLAH ya tuhanku , ampunilah dosa hamba , dosa kedua ibu bapa hamba , dosa guru-guru hamba , dosa sahabat-sabahat hamba dan dosa seluruh umat Islam . Tempatkanlah kami dalam kalangan orang – orang yang ENGKAU redhai YA ALLAH . Tunjukkanlah kami jalan yang lurus , jalan yang benar , jalan yang ENGKAU redhai. Berikanlah kejayaan dipenghujung setiap perjuangan kami YA ALLAH . Berilah rezeki yang berterusan dan tidak pernah putus , berilah kesihatan yang baik sepanjang kehidupan kami di alam fana ini dan berilah kelancaran di setiap apa yang kami lakukan YA ALLAH . Baris terakhir doaku YA ALLAH , makbulkan permintaan hambaMU yang lemah ini , kurniakan hamba seorang puteri yang sangat hamba dambakan sebagai penyeri dalam mahligai rumahtangga hamba YA ALLAH . Sesungguhnya , dengan namaMU hamba memohon YA ALLAH . Amin amin Ya Rabbal alamin.
Peristiwa tersebut sekitar belasan tahun lepas . Saat di mana Bukit Marwah dijadikan batas merehatkan diri setelah menghabiskan rukun umrah sai’e , saat di mana tubuh disisir lembut angin suci Masjidil Haram, saat di mana kelihatan kukuhnya Jabal Rahmah iaitu tempat dimana pertemuan Nabi Adam a.s dengan Siti Hawa yang terpisah 100 tahun lamanya , saat di mana bersinarnya kubah hijau yang dibawahnya terdapat makam Rasulullah SAW , Abu Bakar dan Umar dan saat di mana dapat dikumpulkan seramai mungkin pejuang – pejuang Islam . Saat itu indah , terasa begitu selamat, terasa begitu nyaman , terasa diri begitu bertuah dipilih menjadi tetamu ALLAH swt.
Kelihatan seorang puteri sunti manis bermanja-manja dengan abang-abangnya . Tampak begitu bersahaja . Terserlah keakraban mereka disulami benih kasih sayang yang kukuh antara satu sama lain . Gadis sunti ayu perlakuannya , sopan tutur katanya , manis penyeri wajahnya . Mungkin itu puteri yang wanita itu dambakan saban waktu . Ya , itulah . ‘Multazam’ tempat keramat yang menjadi medan wanita itu memohon doanya . Alhamdulillah , ALLAH SWT itu maha atas segalanya . Permintaan wanita itu dimakbulkan . Mahligai bahagianya diserikan dengan kehadiran cahaya mata yang amat dinantikan setelah dikurniakan empat putera secara berturut. YA ALLAH , inilah keajaiban . Keajaiban yang dibuktikan ALLAH SWT .
Saat puteri itu dilahirkan di bumi ALLAH SWT ini , menitiskan air dari kelopak mata sekalian yang mengetahuinya . Ya, air mata kesyukuran . Paling gembira ayahanda dan bondanya . Paling ceria abang-abangnya . Diasuh dibelai dengan penuh kasih sayang . Pesan ayahanda dan bonda diselitkan , tidak lupa kekandanya . ‘ Wahai puteri yang kami nantikan saban waktu , jadilah hamba yang setia kepada tuhanMU , jadilah puteri yang solehah kepada ayahanda dan bondamu , jadilah adinda yang baik kepada kekandamu . Kami menantikan kehadiranmu untuk sekian lamanya , semoga penantian kami yang ikhlas ini diberi balasan seribu satu kemanisan hidup di dunia dan akhirat . Jadilah muslimah sejati wahai puteri multazam’.
p/s : Kisah ini saya adaptasi selepas menonton satu slot “ikhtibar dari tanah suci” yang bertajuk
“ Puteri Multazam” . Indahnya nikmat ALLAH SWT . Terpapar senyuman terindah dari ayahanda , bonda serta kekanda puteri ini . Mereka sangat menghargai pemberian istimewa sungguh bermakna yang diturunkan oleh Maha Suci ALLAH SWT . Tiada kata luarbiasa hebat yang mampu dirungkaikan selain daripada “ Alhamdulillah , syukut ke hadratMU YA ALLAH”.
Sekian , Terima Kasih .
Nurfarhana Shahira Binti Haji Rosly.
No comments:
Post a Comment