Perjalanan Ramadhan 1436 Hijrah
#Bahagian 3
Ramadhan kali ini berkemungkinan (segalanya telah diaturkan oleh Allah) merupakan Ramadhan sepenuhnya aku di UPM. Selama lima tahun aku di UPM, hampir keseluruhan Ramadhan dilalui bersama sahabat seperjuangan. Namun, kali ini sedikit berbeza daripada sebelumnya. Kami memilih untuk iftar di Masjid.
Hari pertama dengan agak takut-takut kerana ketidakbiasaan, langkah pertama memasuki perkarangan masjid. Kami dilambai oleh seorang jemaah masjid yang berkemungkinan berasal dari negara Timur Tengah, bersama dengan seorang anak kecilnya. Jemaah tersebut sering mengukirkan senyuman, dan kami meneruskan untuk menjamah makanan secara berjemaah dengannya di dalam sebuah talam.
Ahhh, perasaannya ketika itu, hanya Allah yang tahu. Betapa hati ini sayu. Nikmat Allah yang manakah yang hendak didustakan?
Allah aturkan ini,
Sejak di Lauh Mahfuz lagi,
Setelah banyak kali diuji,
Dengan nikmat duniawi,
Hari ini,
Allah bagi bukti,
KekuasaanNya Yang Maha Tinggi,
Betapa kecilnya diri ini,
Betapa jauhnya tenggelam dengan duniawi.
Allah Yang Maha Mengasihani,
Tak pernah menjauh diri,
Walaupun diri ini,
Seringkali lalai dengan nikmat yang diberi.
Beberapa hari selepas hari pertama kami meniti jalan baharu yang ditemui, perjalanannya dipermudahkan Allah seperti hari-hari sebelumnya. Alhamdulillah. Satu hari, sedang kami menanti waktu berbuka, seseorang menegur bagi bertanyakan sudah penuhkah bahagian untuk talam hidangan yang berada di samping kami.
Beliau mula duduk di samping kami. Kami mula berbual. Beliau datangnya dari negara seberang. Sedang kami rancak berbual sebagai sesi memperkenalkan diri, beliau mula membuka sebuah cerita. Beliau menceritakan mengenai kisahnya yang sedang mencari tempat berteduh kerana perlu keluar segera daripada tempat yang sedia ada atas masalah tertentu. Merata-rata tempat dicari untuk menjadi tempat sewaan, tapi masih tidak berjumpa. Malam selepas menunaikan solat Terawih, beliau menangis semahu-mahunya, memohon pada Yang Maha Esa. Menangis semahunya dia. Berdoa semahunya. Dengan izin Allah, selepas itu banyak panggilan masuk menyatakan terdapat bilik yang hendak disewakan.
Allah. Maka nikmat Allah yang mana yang hendak kita dustakan?
Sekali lagi aku kaku.
Hati aku makin layu.
Betapa Allah itu Maha Tahu,
Manakala aku ini semakin layu.
Betapa Allah itu luarbiasa mengatur sesuatu,
Sedang aku sering lupa tentang itu.
Bila mana kita serah semuanya kepada Allah yang satu,
Allah akan hadiahkan dengan sesuatu,
Yang kita tak tahu,
Tetapi pastinya sangat membantu.
Allahu.
Pimpinlah diriku.
Ramadhan 1436 Hijrah, pergi bersama seribu satu pengajaran, pengalaman dan persoalan. Yang telah Allah aturkan sejak dahulu. Buat bekalan untuk aku, mengharungi sisa-sisa waktu, Sungguh, aku kaku dan tertunduk malu. Betapa Allah itu Maha Tahu.
090915
10.59 pagi.
Ipoh, Perak.
No comments:
Post a Comment